a gemstone

Saya bukanlah seorang yang senang melepaskan apa yang berada dalam genggaman. Apa yang ada dalam tangan, itulah yang akan digenggam. Tak kira lah apa, permata atau serpihan kaca sekalipun. Itulah yang akan saya hargai, itulah yang akan saya sayangi. Dengan apa yang ada itulah yang akan saya buat terbaik untuknya. Pernah sekali apa yang ada dalam genggaman adalah permata yang bukan sekadar disayangi tapi turut menyanyangi tuannya. Tapi ternyata jika permata itu bukan ditakdirkan untuk saya, tentunya ia bukan untuk saya genggam selamanya.

Saya sedar saya telah sekali menggenggam serpihan kaca. Walaupun kaca, tapi tetap cantik dan mencuri hati. Banyak membantu saya mencermin diri untuk memperbetul dan berubah ke arah kebaikan. Walaupun kaca, mampu buat saya girang tertawa. Sayang, memang. Tapi apakan daya, sayang macam mana sekalipun, serpihan kaca itu tetap kaca yang jika digenggam terlalu kuat adalah sesuatu yang akan melukakan dan ia menyakitkan. Sayang macam mana sekalipun, apalah gunanya saya terus simpan sekiranya ia akan memakan diri saya sendiri di akhir nanti?

Saya tidak mahu membiarkan kasih dan cinta itu membutakan mata memekakkan telinga seolah-olah menolak takdir Allah. Sedangkan apa yang telah ditetapkan oleh Allah itu pastilah yang terbaik untuk setiap insan. Saya yakin dengan Tuhan. Dia pasti akan kurniakan permata yang terbaik untuk saya. Yang memang telah ditakdirkan untuk saya. Yang akan bawa saya lebih dekat padaNya. Yang boleh saya genggam sampai bila-bila. InsyaAllah.

Comments

Post a Comment

Popular Posts